Sunday, February 1, 2009

Qudwah Hasanah..

Posting saya kali ini ialah Qudwah Hasanah. Dalam istilah masa kini, ia boleh disamakan dengan kepimpinan melalui teladan. Seorang pemimpin Islam, tidak harus hanya bercakap mengenai keunggulan Islam, tetapi mesti mampu menunjukkannya dengan contoh-contoh dalam kehidupan hariannya.

Firman Allah:

Maksudnya: “Wahaiorang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan”.As-Shaf: 2-3.

Dalam erti yang lebih meluas, qudwah hasanah menuntut seseorang, istimewa bagi yang mengambil tugas kepimpinan, agar menjadikan dirinya teladan kepada melaksanakan dalam kehidupan sehariannya seruan-seruan kebaikan yang dia laung-laungkan. Dia harus bertindak sebaik kebaikan yang dianjurkannya, bukan sebaliknya. Jika dia menyeru dibasmi korupsi, dia sendiri mesti bersih dari segala unsur korupsi. Jika dia menganjurkan peningkatan ilmu, dirinya mesti menjadi teladan sebagai seorang pencinta ilmu. Jika dia memanggil kepada kemuliaan akhlak, peribadinya sendiri adalah gambaran akhlak mulia.

Nabi Muhammad s.a.w. ialah contoh terbaik bagi qudwah hasanah. Apabila isterinya Aishah ditanya mengenai akhlak Nabi, beliau menjawab: “Akhlak Nabi ialah Al-Quran!”

Maksudnya, keperibadian Nabi, sifat dan sikap baginda, cara baginda berfikir dan bertindak, kehidupannya, semangat dan perjuangannya – semuanya berupa natijah yang tumbuh dari asuhan Al-Quran. Apa yang baginda lakukan adalah melaksanakan anjuran Al-Quran. Apa yang baginda tinggalkan adalah apa yang dilarang Al-Quran. Baginda menyampaikan Al-Quran, dan dirinya sendiri menghayati semangat dan isi Al-Quran. Nilai-nilai abadi yang tumbuh dalam dirinya adalah hasil asuhan Al-Quran. Jadilah baginda seolah-olah Al-Quran yang hidup. Itulah yang dimaksudkan Aesha bahawa akhlak Nabi Muhammad s.a.w. ialah Al-Quran.

Sebagai pemimpin, baginda berada di barisan hadapan dalam menegakkan kebenaran dan dalam menghadapi tentangan daripada perjuangannya. Baginda menolak tawaran kemewahan dan kesenangan hidup, dan bersedia menghadapi pelbagai risiko demi menegakkan kebenaran.

Meskipun seorang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), Baginda amat meninggikan kedudukan ilmu. Di akhir Perang Badar, baginda menawarkan keampunan dan kebebasan kepada setiap tawanan perang yang sempurna mengajarkan bacatulis kepada 10 kanak-kanak di Madinah. Kata baginda,

Ertinya: “Kelebihan orang berilmu daripada orang abid (yang banyak ibadahnya), adalah seperti kelebihanku daripada orang yang paling rendah dari kamu.” (Riwayat Tirmidzi dari Abi Umamah).

Baginda juga paling unggul dalam memberi makna kepada prinsip persamaan dan persaudaraan. Status seorang hamba seperti Zaid bin Harithah, diangkat dengan mengistiharkannya sebagai kerabat Baginda, keturunan bangsawan Quraisy. Ketika sebahagian sahabat masih taksub kepada sentimen kebangsaan Arab, Baginda mengistiharkan Salman dari Parsi sebagai kerabatnya, dan sekaligus melunturkan sentimen sempit tersebut.

Qudwah hasanah juga berlaku dalam kepimpinan para Sahabat.

Sebagai Khalifah, Abu Bakar, yang telah menghabiskan hampir seluruh hartanya membantu perjuangan Islam, terus hidup sederhana, dan tidak punya istana.

Umar bin Khattab, yang dengan kehebatan kepimpinannya membolehkan Islam berkembang ke Syria, Iraq dan Mesir, terus dengan amalan hariannya yang sederhana baik dari pakaiannya ataupun makanannya. Ketika jazirah Arab dilanda kebuluran, Umar langsung tidak makan daging, minyak sapi, ikan atau makanan lazat, sambil tidak putus-putusa berdoa, “Ya, Allah! Jangan Engkau hancurkan umat Muhammad dengan dosa-dosaku.” Sifat sederhana itulah yang membolehkan beliau melihat dan merasakan sendiri masalah dan kesulitan rakyat, kemudian mengambil langkah-langkah memberikan bantuan yang diperlukan.

Ketika sedang solat dan didatangi peminta sedekah, Khalifah Ali bin Abu Talib, tanpa tangguh-tangguh lagi telah memberikan cincin perak yang dipakainya kepada peminta sedekah tersebut. Itulah cara memberikan makna secara unggul kepada erti kedermawanan dan kebajikan.

Demikianlah beberapa contoh qudwah hasanah, iaitu berbuat baik bagi menghidupkan unsur-unsur kebaikan yang dianjurkan, dan tidak bercanggah antara apa yang diperkatakan dengan yang dikerjakan. Dengan melaksanakan dalam bentuk amali apa yang diperkatakan, sesuatu nilai yang baik itu akan lebih mudah difaham. Dan kesannya akan lebih mendalam. Apa yang dikata, dikota. Yang samar (abstract) menjadi nyata (concrete). Inilah proses pembelajaran yang mudah, dan paling berhasil.

Bukan semua orang mudah memahami sesuatu nilai yang unggul dan murni secara intelektual. Namun, tidak sukar bagi semua orang memaham makna sesuatu dengan cara melihat dan meniru sesuatu yang terang dan nyata. Faktor qudwah hasanah yang dipakai dan dihidupkan oleh para pemimpin Islam di peringkat awal itulah yang membolehkan semangat dan isi Al-Quran menjadi mudah difaham, dihayati, dan dikembangkan oleh generasi umat Islam yang mula-mula.

Sebaliknya, di suasana kepimpinan tidak menghidupkan qudwah hasanah, sering timbul percanggahan antara aspirasi dengan realiti. Yang hendak dicapai berlawanan dengan pencapaian sebenarnya. Suasana begini pasti mengelirukan orang ramai. Orang akan keliru tentang nilai apakah yang hendak dipegang? Kekeliruan ini menjadi hambatan kepada usaha-usaha menyemai dan menumbuhkan unsur-unsur kebaikan dalam kehidupan masyarakat.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Mengapakah kamu menyuruh orang mengerjakan kebajikan, sedang kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu mengerti ?".

Bayangkan kesan-kesan negatif jika berlaku keadaan berikut:

Pemimpin yang gigih memajukan amalan demokrasi, enggan bersikap toleransi kepada pandangan-pandangan yang tidak sehala atau serasi dengan pandangannya.

Pemimpin yang menyeru berjimat-cermat dalam perbelanjaan agar mampu menabung untuk membangunkan ekonomi bangsa, menyampaikan perutusannya itu di sebuah majlis makan malam yang lumayan di sebuah hotel paling mahal.


Pemimpin yang diberi tanggungjawab membawa perpaduan di kalangan jemaah, mengamalkan kepimpinan yang menyebabkan wujud prasangka dan kecenderungan berkelompok-kelompok.

Ataupun, pemimpin yang mendorong rajin membaca, sedangkan diri mereka sendiri tidak membaca. Mereka menyatakan Islam sangat menggalakkan ilmu sains moden, sedangkan diri mereka sendiri tidak berusaha memahami bagaimana manusia boleh sampai ke bulan, bagaimana berlaku empat musim di setengah-setengah tempat di dunia, atau kurang peduli dengan kesan kejuruteraan baka dalam kehidupan umat.

Percanggahan begini pasti menambahkan kekeliruan. Nilai-nilai manakah yang benar, mesti diikut dan dihidupkan?

Kejahilan merupakan satu sebab mengapa qudwah hasanah tidak terjelma pada setengah-setengah kepimpinan. Oleh itu, sesiapa jua yang bersedia mengambil tugas kepimpinan harus memperlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Satu daripada usaha yang boleh dibuat ialah dengan cara banyak membaca.

Bagaimanapun, mempunyai ilmu pengetahuan sahaja belumlah mencukupi. Nilai-nilai kebaikan daripada ilmu itu mestilah pula dapat diserapkan dan disebatikan dalam jiwa sehingga mampu melahirkan tindakan-tindakan yang baik secara spontan dan bersengaja, iaitu tanpa dipaksa-paksa dan tanpa mengira tempat, masa dan suasana.

Mudah-mudahan dengan kesedaran menjalani proses melatih dan membina akhlak seperti ini, dunia kepimpinan dalam masyarakat kita akan menjadi lebih kuat. Dan sesiapa jua yang mengambil tugas kepimpinan, baik di rumah, dalam masyarakat, dan seterusnya pada peringkat negara, akan berbuat sejajar dengan apa yang dianjurkan, iaitu kepada menghidupkan qudwah hasanah.

No comments:

Photobucket

inMemory