Friday, February 27, 2009

Amalkan Sikap Jangan Putus Asa




Semua yang bergelar insan pastinya telah, pernah, dan akan berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian, cabaran, masalah, kesulitan, atau kegagalan. Itulah hakikat insan yang hidupnya pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Bahkan Allah SWT sendiri menjelaskan hal ini melalui firmanNya dalam AlQuran:
“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Dan dalam ayat yang lain Allah menerangkan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; Kami telah beriman sedang mereka tidak diuji lagi?”


Ujian yang dihadapi berbeza antara seorang insan dengan insan yang lain. Ada yang diuji dengan kegagalan dalam sesuatu perkara, ada yang diuji dengan penindasan dan masalah, ada yang diuji dengan kebaikan, kekayaan, kemiskinan dan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa, dan sebagainya. Pendek kata, semua orang pernah dan akan diuji. Persoalan yang penting yang ingin disampaikan bukanlah sekadar untuk membezakan bentuk ujian tersebut namun apa yang lebih penting bagaimana kita menghadapi ujian dan cabaran tersebut.
Jadi apakah tindakan kita dalam berhadapan dengan ujian tersebut. Adakah kita perlu kecewa dan marah atau berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai bentuk ujian tersebut? Bukankah sepatutnya sebagai seorang Muslim kita sepatutnya menjadikan ujian tersebut sebagai batu loncatan yang mengubah kita menjadi seorang yang lebih baik dan mengubah keadaan tersebut menjadi lebih baik.
Bukankah Allah telah menyatakan: “Allah tidak akan sekali-kali mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum tersebut sendiri yang mengubahnya”


Inilah hebatnya orang Islam, kerana prinsip hidupnya yang jelas dan bermatlamat telah digariskan dengan jelas dalam Islam.Benarlah kata – kata Umar yang sangat terkenal akan hal ini.
“Kita adalah satu bangsa yang dimuliakan dengan Islam dan sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya pastinya kemuliaan yang kita kecapi akan hilang”.


Pendek kata, janganlah kita berputus asa dalam berhadapan dengan ujian tersebut. Allah menyatakan dengan jelas dalam AlQuran bahawa sifat putus asa bukanlah sifat seorang Muslim. Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara. Bukankah Allah swt telah menjelaskan hal ini dalam menceritakan kisah Nabi Yaakub dan anak-anaknya:
” Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.


Bahkan sehingga pelaku-pelaku dosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana sememangnya sifat ini adalah sifat yang terlarang bahkan keampunan Allah SWT itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sugguh indah maknanya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”.


Kalau dalam hal inipun dilarang berputus asa apatah lagi hal – hal yang lain. Tapi alangkah berbezanya realiti Muslim hari ini yang mudah sahaja berputus asa apabila gagal dalam sesuatu perkara atau mudah saja menyerah kalah apabila menghadapi cabaran yang sukar. Ikutilah teladan Rasulullah SAW dan sahabat – sahabat serta generasi Islam yang awal yang sentiasa bersemangat dan bersungguh- sungguh dalam apa jua bidang sekalipun. Ayuh wahai pemuda untuk kita bangkit kembali dan pastikan kita sentiasa cekal dan jauhilah sikap berputus asa.
Penulis teringat kisah seorang pendaki gunung yang pernah mencatat masa yang terpantas yang mana telah menjadi Qadar Allah untuk pemuda tersebut mangalami kemalangan sehingga tidak memungkin lagi dia untuk mendaki. Namun alangkah positifnya pemuda ini dengan menjelaskan:
“jika sebelum ini aku boleh melakukan 100000 perkara tapi kini aku masih boleh melakukan 1000 perkara lagi”.


Lihatlah pemuda ini yang sentiasa pro aktif dan berfikiran positif. Dan secara logikalnya, hari ini kita melihat kebanjiran pelbagai jenis buku yang sebenarnya tidak mahu membiarkan manusia dalam keadaan berputus asa. Ada sahaja buku yang ditulis untuk membantu kita memperbaiki keadaan kita. Kalau tidak pandai berbahasa ada sahaja buku yang menjelaskan bagaimana untuk menguasai bahasa tersebut, jika dalam keadaan stress juga ada sahaja buku yang menjelaskan bagaimana menghadapinya pendek kata semuanya Ada jalan dan ianya terletak kepada kita sama ada kita mahu atau tidak atau kesimpulan yang mudah ianya tidak mahu kita berputus asa kerana Sesutu maslah atau cabaran yang timbul pasti ada jalan keluarnya.



Jika kita pernah gagal, ini tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut.
Allah SWT tidak pernah bersikap zalim terhadap hamba Nya. Bahkan Dia Maha Adil dalam segala sesuatu. Sebaliknya manusialah yang mempunyai sifat gopoh. Mereka selalu menghadapi Qadha’ Allah dengan rasa kesal dan tidak reda, lebih-lebih lagi kalau yang menimpanya itu sesuatu yang pahit. Dia mengira kalau dia mendapat kesenangan itu membuktikan bahawa Allah reda kepadanya. Sebagaimana dia mengira bahawa Allah benci kepadanya jika ia mendapat bencana.Inilah gambaran akal manusia yang sangat terbatas. Sedangkan Allah menafikan sekeras kerasnya anggapan yang salah dan keliru tersebut di dalam firman-Nya: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberikan-Nya kesenangan, maka dia berkata: Tuhanku telah memuliakanku.


Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. Sekali-kali tidak (demikian).
Anggapan manusia pada kedua-dua keadaan diatas adalah keliru. Sebenarnya kelapangan atau kesempitan rezeki adalah ujian Allah terhadap hamba-Nya. Apakah mereka akan bersyukur atau kufur nikmat, apakah boleh sabar menghadapi cubaan atau panik. Balasan untuk seseorang yang kelak akan diterimanya adalah sesuai dengan sikapnya menghadapi ujian-ujian diatas. Balasan bukan terletak pada apa yang diperolehi seseorang di dunia ini samada senang atau susah. Kesimpulannya, janganlah kita berputus asa.
Jadi bagaimanakah kita menghadapinya?:

• Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik. Rasulullah SAW menjelaskan:
“Sungguh mengkagumkan keadaan seorang mukmin, keadaan mereka sentiasa dalam kebaikan. Tidak terjadi hal yang demikian itu melainkan bagi seorang mukmin. Jika mendapat kesenangan ia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan. Dan jika ia tertimpa kesusahania bersabar dan itu juga merupakan kebaikan baginya”.

• Sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakal kepada Allah. Dari Abdullah Bin Mas”ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang selalu ditimpa kesedihan/kegundahan maka hendaklah dia membaca: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-mu, dan anak abdi-Mu, dan anak-anak-Mu, dan (berada) didalam genggaman-mu, ubun-ubunku ditangan-Mu, dan berlaku keatas (diri) ku hukum-Mu, dan adil padaku ketentuan-Mu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milik-Mu, (samada) yang Engkau namakan diri-Mu dengannya, atau yang Engkau turunkan dia di dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan tersembunyi di alam ghaib disisi-Mu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku, dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku”. Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaannya dan diganti-Nya (kesedihan itu) dengan kegembiraan.
Dan dalam firman Allah menjelaskan: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdo`a kepadaKu apabila dia berdo`a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk”.
Bersabar dan Bersikap pro aktif serta tidak reaktif apabila menghadapi cabaran dan ujian. Sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu. Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.


Akhir kata marilah bersama- sama kita menghayati sebuah Hadith Rasulullah SAW,Sabda Nabi s.a.w kepada Ibnu `Abbas ketika itu dia masih kecil: Maksudnya:" Wahai anak kecil! Sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimat, iaitu, jagalah Allah (jagalah perintahNya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintahNya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon pohonlah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan minta tolonglah daripada Allah."

Friday, February 20, 2009

KASIH IBU - Hayati Dengan Sepenuh Jiwa..

Ibuku buta sebelah mata..
Aku benci ibuku..
Dia amat memalukan aku..
Tugas harian dia adalah memasak untuk pelajar dan guru bagi menyara keluarga kami..
Pada suatu hari semasa disekolah rendah, ibuku datang ke sekolah untuk bertanya khabar..
Aku sungguh malu..
Kenapa dia sanggup melakukan ini kepadaku??
Aku tidak pedulikan dia dengan menunjukan wajah benci dan terus melarikan diri..
Pada keesokannya seorang kawanku berkata,
”Eeeee...ibumu hanya ada satu mata..”
Ketika itu aku rasa mahu membenamkan diriku.
Dan aku juga mahu dia hilang dari hidupku..
Oleh itu aku berjumpa dengannya dan berkata
”Jika engkau hanya mahu jadikan aku bahan ketawa..Baik engkau MATI sahaja..!!!”
Ibuku hanya mendiamkan diri...

Aku tidak pun sejenak berhenti dan berfikir akan apa yang telah aku katakan padanya kerana pada waktu itu aku terlalu marah..
Aku langsung tidak mempedulikan perasaannya..
Aku ingin keluar dari rumah itu..
Lalu aku belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya dapat melanjutkan pelajaran ke Singapura..
Kemudian aku berkahwin..
Membeli rumah sendiri dan mempunyai anak..
Aku rasa sungguh bahagia dengan kehidupanku..
Satu hari ibuku datang menziarahiku..
Sudah lama dia tidak berjumpa denganku dan tidak pernah berjumpa dengan cucunya..
Bila dia berdiri di depan pintu anakku ketawa padanya..
Aku menjerit padanya dan berkata,
”SANGGUP KAU DATANG KEMARI DAN MENAKUTKAN ANAKKU..??!!”
”BERAMBUS KAU DARI SINI..!!”

Dengan nada perlahan dia membalas..
”Maaf,saya silap alamat..”
Lalu dia berlalu dan menghilangkan diri..
Satu hari surat jemputan sampai kerumahku..
Perhimpunan pelajar-pelajar sekolah lamaku..
Oleh itu aku pergi dan mengatakan kepada isteriku ada urusan perniagaan..
Selepas perjumpaan itu aku pergi melihat pondok usang tempat ibuku tinggal hanya sekadar untuk ingin tahu..
Lalu jiran yang ada disitu menyatakan bahawa ibuku telah meninggal dunia..
Tidak setitis pun air mataku mengalir..
Lalu jiranku memberi sepucuk surat yang ibuku ingin aku membacanya..

”Anakku yang ibu kasihi...
Ibu selalu teringatkan kamu setiap masa..
Ibu minta maaf kerana datang ke Singapura dan menakutkan anakmu..
Ibu gembira kamu datang ke perjumpaan pelajar-pelajar lama..
Tetapi ibu mungkin tidak dapat bangun dan berjumpa denganmu..
Ibu minta maaf kerana sering memalukan kamu ketika kamu sedang membesar..
Kamu mungkin tidak tahu..
Semasa kamu kecil kamu mendapat kemalangan dan hilang satu mata..
Sebagai ibu, aku tidak sanggup melihat anaknya membesar dengan satu mata..
Oleh itu aku memberikan salah satu mata padamu..
Aku amat bangga kerana anak lelakiku dapat melihat dunia dengan mata ibumu ini..
Dengan kasih kepadamu..
Ibu kamu...



Rasulullah s.a.w bersabda ”Taatlah kamu kepada ALLAH dan Rasulmu. Selepas itu taatlah kepada ibumu kemudian ibumu kemudian ibumu kemudia ayahmu..”

Friday, February 13, 2009

ADIK - Sebuah Kisah Buat Renungan..

satu kisah…

Aku cuma ada seorang adik.
Lelaki dan usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.
Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.
"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.
Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.
"Baik, kalau tak mengaku, dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.
Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,
"Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik.
Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut.
"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,
"Jangan menangis kak, semuanya dah berlalu!"
Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku.
Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.
Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,
"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran.. Abang bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang…!" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"
Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.
"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"
Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg…. sebuah penampar singgah di pipi adik.
Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"
"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku
memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan… biarlah kakak yang berhenti."
Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat…. .
"Kak…untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."
Apa lagi yang Aku tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.
Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:
"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"
"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"
Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen..
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"
Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.
Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,
"Akak tak peduli apa orang lain kata."
Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,
"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."
Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.
"Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik.."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak… Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi…aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.
"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak."
kata ku memujuk.
"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.
Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,
"Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya" katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya.
"Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar "

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

"Jika tak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yg kita dapat… dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada".

Sunday, February 8, 2009

Remaja dan Cinta..


Assalamualaikum w.b.t

Persoalan kali ini adalah CINTA..
Segala puji buatNYA tuhan Maha Penyayang lagi Maha Pengasih..
Selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah yang begitu mencintai Umatnya..
Kasih abadi buat kedua ibu bapa yang mencintai anak-anaknya
Dan Kasih buat para mujahid dan mujahidah yang mencintai perjuangan..
Moga penyampaian ini mampu membuka hati para remaja yang bercinta akan hakikat bercinta yang sebenar..
Insyaallah..

Rasa cinta
Adalah satu anugerah tuhan pada hambaNya
Dan kerananya manusia sanggup apa saja
Asalkan dia memiliki apa yang dicita

Kerna cinta
Sanggup berkorban apa saja, harta dan nyawa
Setiap detik hanya memikirkan tentang si dia yang tercinta
Ingin bersama sepanjang masa

Tetapi pastikah cintamu dihargai
Mungkinkah si dia kan tetap setia
Setelah kau serah jiwa dan ragamu
Mungkinkah kau pastikan tidakkan dihancurkan

Jika engkau mencintai bunga
Sedarlah engkau bunga itu akan layu
Jika engkau cintakan manusia
Sedarlah suatu hari dia akan pergi

Jika engkau mencintai harta
Harta itu nanti kau akan tinggalkan
Jika engkau cintakan Ilahi
Hanya Dia yang akan kekal abadi
Cintailah Ilahi…


Sekadar perkongsian dari hambaNYA yang lemah dan pernah melalui cinta..

"Mudah untuk menerima tetapi sukar untuk melupakan..Namun apa yang diberikan adalah dugaan tanda CINTA yang lebih agung wujud diatas kita buat hamba-hambaNYA yang dikasihi.."

Wallahu'alambisawab..

Wednesday, February 4, 2009

ASAS-ASAS KELAKUAN DAN ADAB MU'MIN


Assalamualaikum..
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih mempunyai kesempatan untuk menghirup udara secara percuma milikNYa dan berpijak dibumi fana tanpa perlu dibayar sewa..
Selawat dan salam pada junjungan nabi Rasulullah s.a.w, semua ahli keluarga Baginda, para sahabat2 seperjuangan, pejuang2 jihad yang bertaburan seluruh dunia dan juga pada sahabat dan sahabiah..
Satu mukaddimah yang panjang yang hanya bertujuan untuk kita sentiasa mengingati bahawa segala ilmu didunia ini adalah milikNYA juga berkat usaha Baginda Rasulullah s.a.w..
Moga perkongsian ilmu yang sedikit ini mampu memberi seribu makna dan penghayatan kepada kita sebagai umat dan hambaNYA yang lemah..


1.Dari Abu Hurairah r.a katanya: " Telah bersabda Rasulullah SAW : " Sebaik-baik Islam seseorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya.”

Asas pertama ialah kita hendaklah meninggalkan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan kita sebagai muslim. Maka kesimpulannya, Al Qur'an dan As Sunnah lah yang menjadi kayu ukur sama ada sesuatu itu ada kena mengena dengan kita atau tidak.

2.Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepada Rasulullah SAW, bersabda Nabi SAW : "Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai bagi saudaranya sama seperti ia menyintai bagi dirinya sendiri."

Asas kedua yang hendak dibincangkan ialah berkenaan cara berkasih sayang dan bercinta sesama manusia dalam Islam.

Namun begitu, cinta dan sayang kita kepada apa yang ada pada diri kita ataupun yang ada pada saudara kita haruslah tidak melebihi cinta kita kepada Allah dan Rasulnya kerana ia boleh membawa murtad sekiranya kita ucap atau iktiqad begitu.

3.Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : " Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri... ."

Asas yang ketigaialah bercakapdengan perkataan yang baik ataupun diam sahaja.


4.Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi SAW : " Nasihatilah kepadaku ! " Dijawab oleh Nabi SAW : " Jangan marah! " Orang itu berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah SAW mengatakan : " Jangan marah ! "

Asas yang keempat ialah menahan diri daripada perasaan marah. Adapun marah kerana agama, maka ia adalah dituntut. Contohnya, kita marahkan anak kita kerana tidak menunaikan solat.Maka perbuatan itu adalah bertujuan untuk mendidik. Hendaklah kita membezakan antara marah kerana emosi dengan marah kerana mendidik.

Sunday, February 1, 2009

Qudwah Hasanah..

Posting saya kali ini ialah Qudwah Hasanah. Dalam istilah masa kini, ia boleh disamakan dengan kepimpinan melalui teladan. Seorang pemimpin Islam, tidak harus hanya bercakap mengenai keunggulan Islam, tetapi mesti mampu menunjukkannya dengan contoh-contoh dalam kehidupan hariannya.

Firman Allah:

Maksudnya: “Wahaiorang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat ?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan”.As-Shaf: 2-3.

Dalam erti yang lebih meluas, qudwah hasanah menuntut seseorang, istimewa bagi yang mengambil tugas kepimpinan, agar menjadikan dirinya teladan kepada melaksanakan dalam kehidupan sehariannya seruan-seruan kebaikan yang dia laung-laungkan. Dia harus bertindak sebaik kebaikan yang dianjurkannya, bukan sebaliknya. Jika dia menyeru dibasmi korupsi, dia sendiri mesti bersih dari segala unsur korupsi. Jika dia menganjurkan peningkatan ilmu, dirinya mesti menjadi teladan sebagai seorang pencinta ilmu. Jika dia memanggil kepada kemuliaan akhlak, peribadinya sendiri adalah gambaran akhlak mulia.

Nabi Muhammad s.a.w. ialah contoh terbaik bagi qudwah hasanah. Apabila isterinya Aishah ditanya mengenai akhlak Nabi, beliau menjawab: “Akhlak Nabi ialah Al-Quran!”

Maksudnya, keperibadian Nabi, sifat dan sikap baginda, cara baginda berfikir dan bertindak, kehidupannya, semangat dan perjuangannya – semuanya berupa natijah yang tumbuh dari asuhan Al-Quran. Apa yang baginda lakukan adalah melaksanakan anjuran Al-Quran. Apa yang baginda tinggalkan adalah apa yang dilarang Al-Quran. Baginda menyampaikan Al-Quran, dan dirinya sendiri menghayati semangat dan isi Al-Quran. Nilai-nilai abadi yang tumbuh dalam dirinya adalah hasil asuhan Al-Quran. Jadilah baginda seolah-olah Al-Quran yang hidup. Itulah yang dimaksudkan Aesha bahawa akhlak Nabi Muhammad s.a.w. ialah Al-Quran.

Sebagai pemimpin, baginda berada di barisan hadapan dalam menegakkan kebenaran dan dalam menghadapi tentangan daripada perjuangannya. Baginda menolak tawaran kemewahan dan kesenangan hidup, dan bersedia menghadapi pelbagai risiko demi menegakkan kebenaran.

Meskipun seorang ummi (tidak tahu membaca dan menulis), Baginda amat meninggikan kedudukan ilmu. Di akhir Perang Badar, baginda menawarkan keampunan dan kebebasan kepada setiap tawanan perang yang sempurna mengajarkan bacatulis kepada 10 kanak-kanak di Madinah. Kata baginda,

Ertinya: “Kelebihan orang berilmu daripada orang abid (yang banyak ibadahnya), adalah seperti kelebihanku daripada orang yang paling rendah dari kamu.” (Riwayat Tirmidzi dari Abi Umamah).

Baginda juga paling unggul dalam memberi makna kepada prinsip persamaan dan persaudaraan. Status seorang hamba seperti Zaid bin Harithah, diangkat dengan mengistiharkannya sebagai kerabat Baginda, keturunan bangsawan Quraisy. Ketika sebahagian sahabat masih taksub kepada sentimen kebangsaan Arab, Baginda mengistiharkan Salman dari Parsi sebagai kerabatnya, dan sekaligus melunturkan sentimen sempit tersebut.

Qudwah hasanah juga berlaku dalam kepimpinan para Sahabat.

Sebagai Khalifah, Abu Bakar, yang telah menghabiskan hampir seluruh hartanya membantu perjuangan Islam, terus hidup sederhana, dan tidak punya istana.

Umar bin Khattab, yang dengan kehebatan kepimpinannya membolehkan Islam berkembang ke Syria, Iraq dan Mesir, terus dengan amalan hariannya yang sederhana baik dari pakaiannya ataupun makanannya. Ketika jazirah Arab dilanda kebuluran, Umar langsung tidak makan daging, minyak sapi, ikan atau makanan lazat, sambil tidak putus-putusa berdoa, “Ya, Allah! Jangan Engkau hancurkan umat Muhammad dengan dosa-dosaku.” Sifat sederhana itulah yang membolehkan beliau melihat dan merasakan sendiri masalah dan kesulitan rakyat, kemudian mengambil langkah-langkah memberikan bantuan yang diperlukan.

Ketika sedang solat dan didatangi peminta sedekah, Khalifah Ali bin Abu Talib, tanpa tangguh-tangguh lagi telah memberikan cincin perak yang dipakainya kepada peminta sedekah tersebut. Itulah cara memberikan makna secara unggul kepada erti kedermawanan dan kebajikan.

Demikianlah beberapa contoh qudwah hasanah, iaitu berbuat baik bagi menghidupkan unsur-unsur kebaikan yang dianjurkan, dan tidak bercanggah antara apa yang diperkatakan dengan yang dikerjakan. Dengan melaksanakan dalam bentuk amali apa yang diperkatakan, sesuatu nilai yang baik itu akan lebih mudah difaham. Dan kesannya akan lebih mendalam. Apa yang dikata, dikota. Yang samar (abstract) menjadi nyata (concrete). Inilah proses pembelajaran yang mudah, dan paling berhasil.

Bukan semua orang mudah memahami sesuatu nilai yang unggul dan murni secara intelektual. Namun, tidak sukar bagi semua orang memaham makna sesuatu dengan cara melihat dan meniru sesuatu yang terang dan nyata. Faktor qudwah hasanah yang dipakai dan dihidupkan oleh para pemimpin Islam di peringkat awal itulah yang membolehkan semangat dan isi Al-Quran menjadi mudah difaham, dihayati, dan dikembangkan oleh generasi umat Islam yang mula-mula.

Sebaliknya, di suasana kepimpinan tidak menghidupkan qudwah hasanah, sering timbul percanggahan antara aspirasi dengan realiti. Yang hendak dicapai berlawanan dengan pencapaian sebenarnya. Suasana begini pasti mengelirukan orang ramai. Orang akan keliru tentang nilai apakah yang hendak dipegang? Kekeliruan ini menjadi hambatan kepada usaha-usaha menyemai dan menumbuhkan unsur-unsur kebaikan dalam kehidupan masyarakat.

Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Mengapakah kamu menyuruh orang mengerjakan kebajikan, sedang kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu membaca Kitab. Tidakkah kamu mengerti ?".

Bayangkan kesan-kesan negatif jika berlaku keadaan berikut:

Pemimpin yang gigih memajukan amalan demokrasi, enggan bersikap toleransi kepada pandangan-pandangan yang tidak sehala atau serasi dengan pandangannya.

Pemimpin yang menyeru berjimat-cermat dalam perbelanjaan agar mampu menabung untuk membangunkan ekonomi bangsa, menyampaikan perutusannya itu di sebuah majlis makan malam yang lumayan di sebuah hotel paling mahal.


Pemimpin yang diberi tanggungjawab membawa perpaduan di kalangan jemaah, mengamalkan kepimpinan yang menyebabkan wujud prasangka dan kecenderungan berkelompok-kelompok.

Ataupun, pemimpin yang mendorong rajin membaca, sedangkan diri mereka sendiri tidak membaca. Mereka menyatakan Islam sangat menggalakkan ilmu sains moden, sedangkan diri mereka sendiri tidak berusaha memahami bagaimana manusia boleh sampai ke bulan, bagaimana berlaku empat musim di setengah-setengah tempat di dunia, atau kurang peduli dengan kesan kejuruteraan baka dalam kehidupan umat.

Percanggahan begini pasti menambahkan kekeliruan. Nilai-nilai manakah yang benar, mesti diikut dan dihidupkan?

Kejahilan merupakan satu sebab mengapa qudwah hasanah tidak terjelma pada setengah-setengah kepimpinan. Oleh itu, sesiapa jua yang bersedia mengambil tugas kepimpinan harus memperlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Satu daripada usaha yang boleh dibuat ialah dengan cara banyak membaca.

Bagaimanapun, mempunyai ilmu pengetahuan sahaja belumlah mencukupi. Nilai-nilai kebaikan daripada ilmu itu mestilah pula dapat diserapkan dan disebatikan dalam jiwa sehingga mampu melahirkan tindakan-tindakan yang baik secara spontan dan bersengaja, iaitu tanpa dipaksa-paksa dan tanpa mengira tempat, masa dan suasana.

Mudah-mudahan dengan kesedaran menjalani proses melatih dan membina akhlak seperti ini, dunia kepimpinan dalam masyarakat kita akan menjadi lebih kuat. Dan sesiapa jua yang mengambil tugas kepimpinan, baik di rumah, dalam masyarakat, dan seterusnya pada peringkat negara, akan berbuat sejajar dengan apa yang dianjurkan, iaitu kepada menghidupkan qudwah hasanah.
Photobucket

inMemory