Sunday, November 15, 2009

GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG

Daripada Mughirah bin Syu' bah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda, "Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga sampailah suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya".
H.R. Bukhari

Keterangan
Allah swt. telah menjadikan umat Islam ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah swt. berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin dipermukaan bumi ini.

Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nashrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamddun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramairarnai terhadap kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nashrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan disegi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya dan sebagainya Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia di hari ini.

Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya. Walau pun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syi'ar-syi'ar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain syi'ar-syi'ar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walau pun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini hinggalah sampai pada masa yang dikehendaki oleh Allah swt. Maka pada masa itu Allah swt. akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal setelah itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, maka pada saat itulah akan berlaku hari qiamat

Monday, November 9, 2009

Ejah - Cerita Seorang Insan Buat Insan..

" Jomlah awak. Kita main lari-lari," ajak Ani, teman
sekelasnya " Tak naklah. Kita penat, " jawabnya acuh
tak acuh sambil menggeleng.
" Alah jomlah. Awak tak payah lari kuat-kuat.
Pelan-pelan pun boleh jek, " pujuk Ani. "Tak moh lah.
Awak pegilah. Kita tengok jek, " jawabnya lagi.
Akhirnya Ani mengalah dan berlari ke arah teman-teman
yang lain. Dia hanya memandang kosong ke arah mereka.

" Ejah! " tersentak dia mendengar suara ayah dari
dalam rumah. Segera dia berlari masuk. Ayah berdiri
bercekak pinggang di depannya. " Kau dah buat kerja
sekolah belum? " tanya ayah. " Hari ni tak ada kerja
sekolah, " jawabnya perlahan. " Abis tu tak reti nak
belajar? Mentang-mentang tak ada kerja sekolah tak
boleh tengok buku. Kau tu bukannya pandai sangat
malas-malas nak belajar " herdik ayahnya. Dia hanya
terkebil-kebil memandang ayahnya. " Yang berdiri
terkebil tu kenapa. Pergi baca buku, " herdik ayah
lagi sambil mencubit peha kirinya. Segera dia berlari
ke biliknya. Air mata mengalir deras mambasahi pipi
cengkungnya.

Di dalam biliknya dia menangis dengan perlahan dan
tertahan-tahan. Takut didengari ayah. Kalau ayah tahu
yang dia menangis bukan belajar, tentu telapak tangan
ayah hinggap di tubuh kecilnya. Tidak sanggup lagi
rasanya untuk tubuh kecil itu menerima pukulan ayah.
Perlahan-lahan dia membuka almari bajunya. Di antara
baju-bajunya yang berlipat dan bersusun kemas ditarik
sekeping gambar. Wanita di dalam gambar itu tersenyum
manis. Nenek kata itu adalah mamanya. Dia tidak pernah
berjumpa mama. Menurut nenek mama meninggal 8 tahun
lalu semasa umurnya baru 5 hari. Ketumpahan darah kata
nenek.

Entahlah dia pun tak tahu apa maksud nenek
dengan ketumpahan darah. Dia selalu berfikir, kalau
mama masih ada mesti mama akan memarahi ayah yang
selalu memukulnya. Mama mesti membelanya. Walaupun dia
tidak pernah berjumpa mama namun dia begitu sayang
kepada mama. Setiap kali papa memukulnya pasti dia
akan mencari gambar mama. Kepada gambar mamalah
diceritakan dengan air mata yang berlinangan betapa
sakitnya dipukul ayah. Dia tidak ada adik-beradik yang
lain, hanya kepada gambar mamalah dapat dicurahkan
kesedihannya. Nak mengadu pada nenek, nenek tinggal
jauh darinya. Lagipun kalau ayah tahu dia mengadu pada
nenek sudah tentu lagi teruk dia dipukul.

Akhirnya dia menangis sehingga tertidur. Hari ini dia
kesekolah seperti biasa. Begnya yang sarat dengan
buku-buku digalas di bahu. Dia berjalan menuju ke
bilik darjah. " Ejah! Tunggu kita, " jerit suara kecil
dari belakang. Ani berlari terkedek-kedek mengejarnya.
Ejah hanya tersenyum kecil memandang Ani. " Awak nak
datang tak rumah kita tak nanti lepas sekolah? " tanya
Ani sambil mereka berjalan seiringan menuju kebilik
darjah." Boleh ke? Mak ngan ayah awak tak marah ke? "
tanyanya ragu-ragu. " Buat apa nak marah. Kita boleh
belajar sama-sama. Kan minggu depan ada ujian
matematik, " jawab Ani sambil tersengeh. Ani memang
selalu begitu. Dia sentiasa kelihatan riang. Dia suka
berkawan dengan Ani. Ani baik.

Selepas sekolah Ejah ke rumah Ani. Emak Ani tersenyum
mesra semasa mereka sampai. " Marilah makan dulu Ejah.
Lepas makan baru belajar, "
pelawa Emak Ani sambil tersenyum. Ejah hanya tersenyum
malu. Baiknya emak Ani. Kalau Ejah mama masih hidup
tentu mama pun baik macam ni. Mereka makan
bersama-sama. Ikan masak lemak cili api, daun ubi
bercecah sambal belacan, ikan kering sepat. Memang
enak. Pandai emak Ani masak. Dalam segan-segan habis
dua pinggan nasi dimakan Ejah. " Makan banyak-banyak
sikit Ejah. Kamu tu kurus sangat, " kata emak Ani
sambil menyenduk nasi ke pinggannya. Ejah hanya
mengangguk malu. " Jangan makan banyak sangat pula,
nanti kamu jadi macam si Ani ni haa.. tembam " usik
ayah Ani pula. Ani hanya menjelir lidah pada ayahnya.

Ketawa berderai. Tak pernah ayahnya berjenaka begitu
dengannya. Untung Ani dapat keluarga yang baik. Bila
terkenangkan ayahnya Ejah mula terasa sedih. Air
matanya di tahan. Malulah kalau menangis de depan
orang. Ejah dan Ani belajar bersama. Ayah Ani telah
pergi semula ke tempat kerja. Emak Ani sibuk
menghidangkan mereka air milo dan biskut untuk mereka.
Ejah menerangkan kepada Ani beberapa masalah
matematik. Ejah sememangnya lebih pandai dari Ani.
Bukan kerana dia rajin belajar tetapi kerana dia mudah
menerima ilmu. Sekali di ajar sudah tentu difahami dan
dihafalnya.

Masa begitu cepat berlalu. Sedar tak sedar sudah
hampir ke pukul 4 petang. Ejah panik. Ayah mesti marah
kalau dia sampai lambat ke rumah. Segera dia mengemas
buku-bukunya. Ejah bergegas pulang. Berlari-lari anak
dia pulang rumah. Sewaktu menaiki tangga rumah hatinya
berdebar-debar. Terbayang wajah ayah yang menyinga.
Kecut perutnya apabila membayangkan tali pinggang ayah
menghinggapi belakangnya. Sebaik sahaja dia sampai di
pintu langkahnya terhenti. Terdengar suara perempuan
bercakap dengan ayah. Nenek!!!

" Biarlah aku bawa Ejah pulang ke rumah aku Jusoh. Di
sini pun bukan ada siapa yang menjaganya. Kesian aku
tengok dia tu, makan pakai
tak terurus ". " Tak payahlah mak. Tahulah saya
menjaganya, " ayah bersuara acuh tak acuh. " Janganlah
kamu berdegil Jusoh. Mak bukan nak pisahkan kamu dari
darah daging kamu sendiri. Cuma mak kesian dengan Ejah
tu saja, " nenek cuba memujuk ayah. " Mak ingat mak
boleh menjaga si Ejah itu. Dia tu degil. Kalau mak
berlembut sangat dengan dia mulalah dia naik kepala.
Tengoklah ni, dah petang-petang gini pun masih tak
balik-balik lagi. Kemana agaknya merayap tak tentu
hala. Kalau balik siaplah dia nanti. Kalau tak kena
penangan memang sajalah, " terdengar nada marah di
suara ayah. Ejah hanya diam berdiri de belakang pintu.
Menggigil ketakutan. " Ejah tu taklah sejahat mana.
Budak-budak. Adatlah nakalnya pun. Kau ingat mak tak
tahu yang kau selalu memukul dia? "

" Oh, dia dah pandai mengadu pula sekarang ni ye. Anak
tak sedar di untung. Dahlah emaknya mati kerana dia.
Kalau tak kerana nak melahirkan dia sudah tentu Maria
masih hidup lagi, " jerkah ayah.
" Bukan dia yang mengadu Jusoh. Aku ni bukan buta.
Birat-birat badan budak tu kau kerjakan.
Sudah-sudahlah kamu menyalahkan dia diatas kematian
emaknya. Kamu ni bercakap macam orang tak beragama.
Hidup mati tu kan di tangan Tuhan, ". " Tak payahlah
mak nak berkhutbah kat sini. Dia anak saya, pandailah
saya menjaganya, " Ejah membuka pintu perlahan-lahan.
Dua pasang mata tertumpu ke arahn " Nenek, " jeritnya
sambil berlari ke arah nenek. Tangan nenek di cium
hormat. " Dah besar dah cucu nenek ni, " ujar nenek.
Ada nada sayu yang terselindung. Pipi Ejah dicium
lembut " Kau ke mana ha Ejah? " herdik ayah. Tersentak
Ejah. Ejah tunduk memandang lantai. Nenek mengusap
lembut rambutnya. " Kamu ni Jusoh. Budak tu baru
balik. Bukan nak tanya dah makan ke belum. Terus-terus
nak marah saja, " nenek membelanya.

" Tak payahlah mak mengajar saya cara nak menjaga
anak. Mak membelanya macam ni memanglah dia suka.
Mulalah besar kepala, " marah ayah. " Ejah, pegi tukar
baju sekolah tu. Kotor nanti, " ujar nenek lembut
padanya. " Baiklah nek, " terus dia berlalu ke
biliknya. Dari dalam bilik dapat di dengar ayah dan
nenek bertengkar. Dia hanya diam membisu di atas
katilnya. Hatinya sedih. Tak sangka dia yang
menyebabkan mamanya mati. Dia benci dirinya di saat
itu. Patutlah ayah selalu marah padanya. Patutlah ayah
benci dirinya. Ejah terus menangis tersedu-sedu.

Tangisnya terhenti bila terdengar pintu berdentum.
Nenek telah pulang. Pintu biliknya terkuak. Ayah
melangkah masuk dengan wajah menyinga. " Ke mana kau
marayap hah? " jerkah ayah. Dia hanya diam
sambil air mata mengalir ke pipi. " Jawab! " tengking
ayah. Tersentak dia. Tubuhnya terhenjut-henjut menahan
tangis. " Orang pergi rumah Ani, "jawabnya perlahan
dan terketar-ketar sambil menahan sendu. " Kenapa? Kau
dah tak ada rumah? " marah ayah lagi. Ejah hanya diam
membisu. Ayah menampar pipinya. Perit. Ejah terjatuh
dari birai katil. Tangisnya semakin kuat. " Kau tak
dengar aku tanya? Kau dah tak ada rumah sendiri nak
merempat ke rumah orang? " tengking ayah sambil
menarik rambut Ejah. Dia hanya mampu mengikut tarikan
tangan ayah. " E..ejah, Ejah pegi belajar kat rumah
Ani, " jawabnya tersedu-sedu. " Ooh, belajar. Kat
rumah ni tak boleh belajar? Kenapa? Apa kurangnya
rumah ni? Dah pandai nak memilih pulak. Anak tak sedar
diri, " jerit ayah lebih kuat. Sekali lagi pipi si
kecil menjadi sasaran tangan ayah. Terpelanting tubuh
kecil itu ke lantai. Ejah merintih kesakitan. Terasa
cecair hangat mengalir dari hidungnya. Darah. Ayah
tidak berhenti disitu. Tubuh kecil Ejah disepak. Ejah
merintih penuh kesakitan. Tapi Ejah tidak melawan.

Langsung tidak merayu agar ayahnya berhenti. Dia
merasakan yang dia memang layak dipukul. Semuanya
kerana apa yang berlaku pada mama. Biarlah ayah pukul
dia. Dia rela asalkan mama memaafkannya. Ejah rasa
berdosa pada mama. Ayah menarik rambut Ejah lagi dan
sekali lagi penampar papa hinggap di pipinya. Ejah
tercampak ke dinding. Ayah terus menggila. Ejah yang
kecil itu terus menjadi sasaran tangan dan kakinya.
Pandangan Ejah mula kabur. Dia tidak lagi bergerak.
Semuanya bertukar gelap... Ejah terjaga. Dia masih
lagi terbaring di atas lantai. Kepalanya terasa berat.
Pipinya perit, dadanya terasa bagai dihempap batu
besar dan seluruh badannya sengal.

Dia terdengar suara ayah memanggilnya dari luar bilik.
" Ejah! Ejah! Bangun! Kau dah tak nak sekolah, "
garang suara ayah. Ejah cuba bangun tetapi tubuhnya
terasa amat berat. Penangan ayah semalam masih terasa.
Tubuhnya terasa begitu lemah. Pintu biliknya dibuka.
Ayah melangkah masuk. " Tidur lagi! " jerkah ayah. "
Ee..ejah rasa tak sihat ayah, " jawabnya dengan suara
yang dengar tak dengar. " Sudah, jangan nak
mengada-ngada, " marah ayah sambil menarik tangannya.
Seluruh tubuhnya terasa hendak tercabut. Dia gagahkan
juga untuk berdiri. " pergi mandi, " ayah menolaknya
ke bilik mandi. Setelah selesai mandi dan bersiap dia
ke sekolah berjalan kaki seperti biasa. Tubuhnya masih
lemah tetapi di kuatkan juga. Dia tidak mahu menaikkan
darah ayah lagi. Sampai di sekolah di rasakan
mata-mata memandangnya dengan penuh kehairanan. Dia
hanya membiarkan mereka memandangnya. Dia terlalu
sibuk menahan sakit.

" Nurfaizah, " terdengar suara Cikgu Linda
memanggilnya. Dia memandang Cikgu Linda kosong. "
Siapa yang buat kamu macam ni? " tanya Cikgu Linda
sambil mengusap rambutnya. Ejah hanya diam membisu.
Kepalanya terasa bertambah berat, dia mula terasa
sukar untuk bernafas. Pandangan mula kabur. Ejah
merasakan kaki begitu lemah dan tidak lagi mampu
menahan berat tubuhnya. Dia jatuh terjelepuk di
lantai. Dalam kabur-kabur dia mendengar Cikgu Linda
memanggil namanya. Akhirnya semua bertukar gelap dan
sunyi. Sekelilingnya putih dan berbau ubat.Kepalanya
tidak terasa berat atas berdenyut. Dia membuka matanya
perlahan. Ada ayah, ada nenek dan Mak Usu. Nenek
menangis. Ayah pun menangis. Tidak pernah dia nampak
ayah menangis. Ayah usap-usap rambutnya perlahan. Tak
pernah ayah buat begitu padanya. Tiada tanda-tanda
kemarahan dan kebencian di wajah ayah. " Maafkan ayah
nak, " suara ayah sayu dan tersekat-sekat. Ejah tak
faham kenapa ayah dan nenek sedih. " Kenapa semua
orang sedih, " tanya Ejah dengan kepayahan. "
Janganlah sedih. Ejah cuma nak pergi jumpa mama. Ejah
nak minta maaf pada mama. Ejah rindu mama, " Ejah
bersuara perlahan. "Oh Ejah! Maafkan ayah! Ayah
menyesal! Jangan tinggalkan ayah! " ayah merayu. Air
mata mengalir di pipi ayah. Ejah merasakan tubuhnya
semakin ringan. Dia tersenyum memandang nenek,
kemudian ayah dan akhirnya ke arah mak usu. Pernafasan

Ejah mula tersekat-sekat dan akhir dada si kecil
terhenti berombak. Senyuman Ejah masih lagi di
bibirnya yang pucat itu. Dia terbaring kaku. Wajahnya
kelihatan tenang. Ayah meraung menyesali perbuatannya.
Menurut doktor, Ejah mengalami pendarahan dalam otak
kerana hantukkan yang kuat. Ejah juga kepatahan
beberapa tulang rusuknya dan mengakibatkan kecederaan
pada paru-parunya. Ayah masih lagi meraung. Meraung,
menangisi pemergian insan kecil yang tak pernah
dihargai selama hayatnya...Insan kecil bernama..
EJAH...

inMemory