Tuesday, November 18, 2008

Manusia diberi hidayah akal, agama cari kebenaran


"Mencari hidayah-MU KEKAL nan SUCI"


- HIDAYAH selalu diertikan sebagai petunjuk. Dalam solat lima waktu sehari semalam, Muslimin tidak putus-putus memohon dan berdoa kepada Allah agar sentiasa diberi hidayah ke jalan benar dan lurus

Perkataan ini juga sebenarnya sering dibaca pada majlis doa selamat dan tahlil masyarakat Melayu namun persoalannya berapa ramai yang benar-benar memahami dan menghayati apa yang mereka baca.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud,

“Tunjuklah kami jalan yang lurus” (Surah al-Fatihah : 6).


Firman-Nya lagi yang bermaksud

“Alif, Laam, Miim, Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya),
Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa”

(Surah al-Baqarah : 1-2).

Dalam ayat seterusnya Allah berfirman:
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya” (Surah al-Baqarah :5).

al-Quran adalah sumber utama petunjuk kehidupan manusia. Untuk mengenali Allah yang membawa kepada kedudukan takwa di sisi-Nya, manusia mesti terlebih dulu dikurniakan hidayah.

Syeikh Abu Bakr al-Jazairi dalam bukunya Akidah Mukmin membahaskan persoalan ini dengan membahagikan hidayah kepada dua bahagian iaitu hidayah akal dan agama.

1. Hidayah akal bermaksud petunjuk yang Allah berikan dalam bentuk kurniaan akal fikiran baik, waras dan sempurna sehingga dapat membezakan antara baik dengan buruk serta yang hak dengan batil. Akal sempurna antara jalan yang akan membawa seseorang beriman kepada Allah dan mengetahui keesaan-Nya.

2. Hidayah agama pula dianggap lebih penting dalam usaha mengenal Allah kerana nur agama dipancarkan ke dalam diri hamba-Nya adalah faktor terbesar yang membawa manusia ke arah beramal dan penyucian diri.
Agama juga boleh memandu seseorang untuk mengubati jiwanya yang resah, fikiran yang berkecamuk, malah nilai agama juga boleh menyucikan diri berbanding anugerah akal semata-mata.


Sabda Rasulullah SAW bermaksud
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu itu maka baiklah keseluruhan jasad dan jika buruk, maka buruklah jasad keseluruhannya, ingatlah bahawa daging itulah hati”.

Semoga kita semua mendapat petunuk dan hidayah dar-NYA dan mati sebagai para syuhada..
Amin..
Ukhuwahfisabilillah87

No comments:

Photobucket

inMemory